Rabu, 03 Juni 2015

Dum Dum Tak: Punk adalah penentangan

ddt
Hentikan Penindasan – begitu tajuk album sulung band hardcore punk Dum Dum Tak. Dengan cover album polis memegang cota menghenyak seorang punk berambut mohawk, kita sudah boleh agak ini band apa. Menentang penindasan (terhadap orang kecil), menentang autoriti (yang menyalahgunakan kuasa). Tidak berselindung dan tidak berlapik.
ddt2
DDT
Ditubuhkan pada 2007, mereka adalah headline dalam gig di serata negara. Malah pakcik dan makcik PAS pun mengenali Dum Dum Tak (setidak-tidaknya lewat himpunan protes harga minyak tanggal 6 Julai 2008). Dan tidak hairan jika mereka mengenali band ini sehingga kini, walaupun mungkin kerana alasan yang tersendiri: “Budak-budak baju hitam tak bermoral yang melalak atas stage masa orang lain bantah harga kenaikan minyak”.
Salah satu lagu Dum Dum Tak bertajuk Petrol Petrol Petrol. Antara liriknya:
Harga petrol naik lagi
konon katanya harga subsidi
kau susahkan rakyat dunia
sekarang kami sangat terseksa
Dum Dum Tak adalah headline bagi acara Solidariti: Malaysia Milik Kita Bersama anjuran Roketkini yang akan berlangsung pada 6 Jun ini di Black Box Publika, Solaris Dutamas. Acara itu turut disertai band Shh… Diam!, Spooky Wet Dreams, Ching It Out dan Orfeus.
Roketkini baru-baru ini sempat mencuri masa Nizang, Fael dan Spanky untuk berbual hal-hal seantero muzik bising dan mesej politikal dalam lirik lagu mereka.
Roketkini (R): Sebagai pemanas badan, boleh cerita sedikit tentang perkembangan baru Dum Dum Tak, serta proses muzik kalian.
IMG_3102-12
Nizang
Nizang (N): Kami dalam  proses kembali merakam untuk album baru. Sebelum ini dah mula, cuma tergendala sebab masing-masing sibuk. Setakat ini sudah ada lapan lagu, dan tiga sudah siap rakam. Cuma lirik belum finalise.
Proses pula, biasanya aku akan bagi idea, lirik kepada Fael. Kemudian kami jam di studio. Dan sebaik sebelum proses rakaman, kami akan perkemaskan lirik.
Fael (F): Biasanya kalau aku jumpa lagu atau melodi, aku rakam pakai telefon sahaja. Kemudian balik rumah cari part gitar.
Kami sebenarnya pernah rancang nak berhenti untuk beri tumpuan kepada hidup. Tapi sampai sekarang masih teruskan. Orang masih panggil, dan kita akan main selagi boleh. Minggu depan (acara Solidariti) kami mungkin main lagu baru.
R: Lirik kalian memang jenis tak ada bunga, tak berlapik. Adakah dengan keyakinan mesej anda akan sampai?
ddttttttttttttttttt3F: Memang. Supaya pendengar mudah faham. Tambahan pula lagu kami dalam bahasa Melayu. Dulu susah nak jumpa band punk rock tempatan guna bahasa Melayu. Kalau ada pun dalam bentuk sindiran dan kiasan. Dan orang masih tak faham. Crowd punk rock pun ada sebahagiannya tak faham. “Lagu ni pasal apa?”
N: Kadang-kadang maksud kita lain, tapi orang faham lain. Tapi tak kisah sebab ia memang subjektif. Tapi lebih mudah kalau sampaikan mesej dalam bahasa yang mudah difahami, semua orang pun boleh layan dan dengar. Setakat ini kami yakin mesej kami sampai kepada khalayak.
R: Kalian rasa adakah muzik perlu sampaikan apa-apa, atau sekadar untuk have fun, dan kalau dalam scene Punk, lebih kepada imej?
IMG_3096-9
Fael
F: Terpulang kepada band. Ada main lagu cinta, itu ikut suka hati kau-lah. Kita bukan ada autoriti, dan tidak perlu ada autoriti dalam scene.
N: Ada band sampaikan mesej secara marah, ada secara kasih sayang. Tetapi tetap politik juga.
R: Ada pihak atau band lain yang rasa Dum Dum Tak ni terlalu politikal, dan macam nak beri khutbah?
F: Tak ada (ketawa). Tapi kalau tengok perkembangan sekarang, ada band kawan-kawan macam dah semakin tinggalkan politik, dan lebih kepada politik peribadi.
R: Kalian tentu masih ingat ketika beraksi di himpunan protes harga minyak tujuh tahun lalu. Bagaimana kalian lihat reaksi penyokong-penyokong pembangkang ketika itu yang rata-rata terkejut dan marah, mungkin sebab tidak biasa dengan muzik punk. Tentulah berbeza dengan gig di tempat biasa, kan?
Himpunan Protes
Himpunan Protes
F: Memang rasa tak best-lah. Sebab kami pun tak suka kerajaan. Kami ni macam ‘pembangkang dimaki pembangkang’ (ketawa). Walhal kita kongsi prinsip yang sama, perjuangan yang sama. Tetapi sebab muziknya punk, terus ditolak. Malah ada kawan kami yang dipukul.
Spanky (S): Tapi sekarang ada sedikit perbezaan. Misalnya ketika konsert Bersih Rock yang juga ada dihadiri penyokong pembangkang. Reaksi mereka okay.
F: Tetapi ‘reaksi pelik’ ni masih ada. Macam ketika demonstrasi Hari Pekerja baru-baru ini. Ada orang kata budak punk ini huru-hara. Nampak ada yang bawa bendera merah hitam, terus kena tuduh diupah BN untuk buat kacau. Kita macam masih terperangkap dengan pemikiran negatif seperti ini, padahal semua turun atas tujuan yang sama.
S: Hal itu aku nampak depan mata. Nasib baik aku pergi demo hari tu dari tempat kerja, jadi pakai baju kerja. Aku dengar ada orang marah, “Ni mesti budak-budak Umno”, datang nak buat kecoh”. Ya lah, biasanya orang turun demonstrasi ni yang pakai kopiah. Nak buat macam mana.
R: Pendapat kalian tentang autoriti; walaupun kerajaan sudah mansuhkan ISA, Dewan Rakyat baru-baru ini luluskan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) yang juga ada penahanan tanpa bicara. Malah Akta Hasutan pun diperkuatkan, dan diguna sewenang-wenangnya. Dulu mungkin sasarannya orang politik, tapi lepas ini mungkin kita pun dah tak boleh nak bercakap apa-apa.
N: Nampaknya kerajaan memang terdesak dan anggap bersuara itu satu jenayah, walaupun mereka sendiri yang mansuhkan ISA dulu.
F: Kalau dah memang nak jadi fasis sangat, lebih baik haramkan sahaja parti politik lain. Biar BN sahaja yang ada. Sebab apa guna ada parti pembangkang, kalau sekatannya macam-macam. Lupus sahaja senang!
R: Sekarang satu dunia kecoh dengan pelarian Rohingya yang ditindas. Apa tanggapan kalian?
rohingya
Pelarian Rohingya
F: Sangat tidak adil. Ditindas di negara sendiri, sampai jadi tiada negara. Kemudian negara-negara lain, termasuk kita sendiri macam tak mahu terima mereka. Ini isu lama, kami mula tahu sejak 3-4 tahun lepas. Tapi ramai yang masih tak tahu, isteri aku pun baru tahu hari ini!
N: Kami juga ada buat lagu khusus tentang isu ini. Supaya yang tak tahu, jadi tahu.
R: Tapi ada yang menarik kalau kita lihat komen-komen di Facebook. Ramai yang bersikap mereka perlu dibantu atas dasar kemanusiaan, tapi pada masa sama prejudis terhadap imigran yang ada di Malaysia.
N: Biasalah memang ramai yang hanya berlandaskan trend. Kalau isu itu hangat dan ramai yang sokong, dia pun sokong sama. Hal-hal viral semua nak ambil tahu. Lama-kelamaan ia akan dilupakan.
R: Kita tahu punk turut membawa perjuangan antiperkauman. Tetapi kenapa kita susah nak jumpa khalayak selain orang Melayu di gig-gig punk sendiri.
smash
Tolak perkauman
N: Memang sangat sedikit. Kalau di Malaysia, yang cenderung kepada muzik hardcore punk kebanyakannya Melayu. Walaupun tetap ada band-band dari kaum lain, seperti Corporate Youth dan Nao. Malah hal yang sama di show-show anjuran kerajaan. Yang buat persembahan dan penonton 90 peratus Melayu.
Salah satu puncanya mungkin kerana masyarakat Cina, misalnya, ada scene indie mereka sendiri.
R: Kenapa wujudnya jurang, sedangkan main muzik yang sama?
N: Walaupun mereka pun main muzik punk, mungkin sebab bahasa yang berbeza. Ada juga penganjur gig yang cuba satukan dua scene ini, tetapi tidak konsisten. Tambahan pula kaum lain kurang cenderung kepada hardcore punk. Aku pun tertanya-tanya tentang hal ini dari dulu lagi.
R: Zaman sekarang semuanya sudah accessible. Dalam konteks subculture, adakah punk masih memberi impak sosial, atau sekarang hanya sebagai soal cita rasa dan kecenderungan muzik?
crass
Crass
N: Pada era 1990-an, punk memang sangat besar. Sampai satu tahap ia seakan menjadi mainstream. Tetapi sekarang semakin tenggelam. Punk kembali jadi obscure. Aku rasa punk akan kembali jadi masa awal-awal dulu.
F: Sekarang ini pun memang tiada pelapis baru. Yang tinggal hanya generasi kami yang dah tua.
R: Bagi kalian mana yang datang dulu. Punk atau politik?
N: Bagi aku, muzik dahulu. Aku mula cenderung dengan punk masa ia meletup pada 1994. Kenal band luar dan kemudiann jumpa scene tempatan. Barulah ada kesedaran politik. Antaranya Carburetor Dung yang memang politikal.
F: Band pertama yang aku dengar adalah Crass – memang politikal. Tentang penindasan autoriti, alam sekitar, penindasan haiwan…
R: Jadi pada tahun 2015 ini, apakah itu punk?
N: Punk masih lagi subjektif, atas tafsiran masing-masing. Orang boleh cakap Tok Janggut adalah punk sebab beliau menegakkan keadilan. Bagi aku itu adalah punk – mencari ilmu dan tegakkan keadilan. Tapi kalau tanya band lain, kau akan dapat jawapan yang berbeza.
Tapi kalau punk rock pula lebih kepada movement. Ada kolektif, zine, band.
F: Bagi aku berbeza – punk bukan satu gerakan, tetapi penentangan. Semua orang boleh jadi punk dengan penentangan. Macam Crass cakap-lah, “Punk is not a movement, but resistance”. – Roketkini.com
unnamed (1)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar