Selasa, 15 September 2015

The legend of ‪#‎sejatisejiwa‬ buffalo souljah



‪#‎SehatiSejiwa‬
‪#‎DiManaAndaDalamSejarah‬? Adakah pada masa dahulu, anda menjejakkan
kaki di stadium pasukan-pasukan bolasepak tempatan? Ataukah anda hanya
bersandar di sofa menghadap kaca televisyen. Menantikan perubahan
kepada bolasepak tempatan. Ataukah menanti perubahan berlaku kepada
budaya sokongan bolasepak tempatan, sebelum mahu mempedulikan
bolasepak tempatan. Menunggu untuk bandwagon wujud, sebelum meloncat
ke dalamnya.

Sejarah tidak dicipta di alam maya. Ia dicipta di alam sebenar,
sepertimana ia dicipta pada 10 Januari 2012 di Bazar Jalan Lee Sam
(dikenali juga sebagai The Factory – tempat lahirnya tifo Mokhtar
Dahari yang akhirnya dijadikan doodle oleh Google) oleh komrad UN9
bernama Romper, bersama-sama Achoi dan Pejai. Ketika berlatih chant
sokongan untuk pasukan bolasepak tanah tumpah darah mereka Negeri
Sembilan, Azlan Romper yang merupakan peminat The Doors, telah
mengambil beat lagu Roadhouse Blues untuk dijadikan chant baru.
Mungkin ada sesuatu pada irama Blues yang hampir pada jiwa waris-waris
negeri, sepertimana Ito dan kumpulannya Blues Gang. Achoi pula mula
mengadunkan rentak berkenaan dengan lirik-lirik yang akan menjadi
legenda dalam scene ultras:
Kami turun ke stadium SEHATI SEJIWA!
Kami turun ke stadium SEHATI SEJIWA!
NEGERI! NEGERI!
SEHATI SEJIWA!
Chant ini diberi nama ‘Blues Stadium’. Takdir bakal menentukan bahawa
irama berhantu ini suatu hari nanti akan menjadi dendangan ribuan anak
watan di corteo dan curva stadium-stadium terbesar di tanah air.
Chant itu mula dinyanyikan ketika perlawanan persahabatan Negeri
Sembilan menentang kelab Indonesia, Persebaya Surabaya 1927 pada
tanggal 25 Mac 2012. Pada tahun itu juga, di Kejohanan AFF yang mana
Malaysia merupakan tuan rumah bersama, Ultras Malaya pula meminjam dan
membawa chant berkenaan ke peringkat negara dan antarabangsa.
Setelah menumpaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Malaysia berjaya melayakkan diri ke separuh akhir untuk bertemu
Thailand. Pada ketika itulah, wakil-wakil Ultras Malaya telah bertemu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabeery Cheek di restoran Rama V
di Jalan U Thant. Walaupun ditawarkan bantuan dan diminta mendaftar
sebagai sebuah pertubuhan untuk memudahkan saluran peruntukan,
wakil-wakil Ultras Malaya telah menolak cadangan ini dengan baik.
Hidup atau mati gerakan ini, miskin atau kaya ianya, telah ditakdirkan
untuk berdiri di atas kaki sendiri.
Siapa sangka tiga tahun kemudian, Kementerian Komunikasi dan
Multimedia yang kini diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek
juga, telah melancarkan tema Hari Kebangsaan #sehatisejiwa. “Sebab
itulah tema #sehatisejiwa dipilih bagi melambangkan semangat
kesepaduan tersebut yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana
mereka berada,” kata beliau. Siapa tahu, mungkin beliau hanya seorang
peminat. Komrad-komrad Ultras Malaya tersenyum sambil mengenangkan
Romper dan UN9.
Nama beliau sudah tersimpan dalam lipatan sejarah negara. Di mana nama anda?
Terima kasih atas penulisan yang sangat baik um07...
http://ultrasmalaya.net/2015/08/30/sehatisejiwa/

1 komentar: